SEMUA orang tahu sedekah itu besar pahalanya, malah sedekah boleh menjadi pendinding kita daripada api neraka. Walaupun bersedekah boleh dibuat pada bila-bila masa namun sepanjang bulan Ramadan, kecenderungan dan keghairahan bersedekah lebih tinggi.
Rasulullah SAW menggalakkan umat baginda bersedekah walaupun hanya dalam bentuk cuma sebelah buah kurma. Ini terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari ‘Adi bin Hatim r.a. kata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang sanggup mendinding dirinya dari api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera). (Hadis nombor 972 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Satu lagi hadis baginda bermaksud: Dari ‘Adi bin Hatim r.a. kata: Bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita mengenai mereka, lalu baginda berlindung kepada Allah daripadanya, dan memalingkan mukanya tidak kali. Kemudian baginda bersabda, Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik. (Hadis nombor 973 dari Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Ini bermakna amalan bersedekah itu amat dituntut termasuk di kalangan mereka yang miskin. Penerima sedekah barangkali boleh memberi sebahagian daripada sedekah yang diterimanya kepada orang lain yang lebih memerlukan sedekah.
Dengan hanya sebelah buah kurma pun digalakkan bersedekah atau paling tidak pun bersedekah dalam bentuk menggunakan tutur kata yang baik, maknanya dalam konteks kita di Malaysia, tidak ada sebab untuk kita tidak bersedekah walaupun barangkali kita adalah merupakan orang sering diberi dan menerima sedekah.
Orang Malaysia tidak akan membeli hanya sebiji buah kurma untuk berbuka puasa, sebaliknya akan membeli sekotak dan akan dipilih daripada jenis yang baik, malah akan dipilih pula kurma yang diimport.
Tok fakir pun pilih kurma yang ada tangkai atau kurma segar untuk berbuka puasa. Namun, masih ramai umat Islam di negara kita yang memilih untuk menjadi penerima daripada memilih menjadi pemberi sedekah.
Ada yang sanggup sewa kereta berpemandu sehari suntuk untuk membawa satu keluarga meminta sedekah bermula pada minggu ketiga Ramadan dan jumlahnya akan bertambah bila 1 Syawal semakin dekat.
Daripada setiap tangan yang menghulur diharap paling kurang pun RM10. Kalau sekadar hulur RM5 atau RM1, apatah kalau 50 sen atau jumlahnya lebih kecil, pasti peminta sedekah akan tarik muka masam, malah siap dengan seranah lagi.
Penerima sedekah yang mencerca pemberi sedekah atau tidak berpuas hati dengan jumlah sedekah yang diberikan akan menerima seksa yang pedih.
Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud: Orang munafik, yakni mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka dengan seksaan yang pedih. (at-Taubah: 79)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah bersabda: Hai, wanita muslimat! Janganlah kamu meremehkan pemberian tetanggamu, walaupun hanya berupa kuku kambing. (Hadis nombor 988 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)
Di samping itu, pemberi sedekah pula dilarang menghitung-hitung sedekah yang diberi dan bakal diberi. Larangan itu terbukti melalui hadis baginda yang bermaksud: Dari Asmai binti Abu Bakar r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: Bersedekahlah kamu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu, dan jangan kikir kerana Allah akan kikir pula kepadamu. (Hadis nombor 987 daripada Kitab Terjemahan Hadis Muslim Jilid I, II,III & IV)