RSS
Banner5

Oct 29, 2013

KUNYIT

Pokok kunyit boleh dikatakan pokok serba guna, setiap bahagiannya mempunyai peranan tersendiri. Daunnya mampu membangkitkan aroma masakan begitu juga bunganya. Apalagi buahnya yang mempunyai seribu satu khasiat selain untuk penyedap masakan. Bagi masyarakat India, kunyit dijadikan bahan utama untuk rempah kari dan piccalilli (acar pedas). Di samping menjadi pewarna dan perasa di dalam masakan ia juga menjadi sebahagian perubatan tradisional.

Bagi masyarakat Melayu kunyit juga diminum sebagai jamu terutamanya bagi ibu selepas bersalin. Tujuannya untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah. Manakala masyarakat Cina percaya isi kunyit boleh melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Di dalam perubatan Thai kunyit digunakan untuk merawat bisa patukan ular tedung.

Kunyit merupakan bahan dapur yang memilik banyak khasiat. Ia sejenis tanaman rempah-ratus sebagai pelengkap perencah dapur yang sangat terkenal di negara kita. Kunyit tergolong dalam kelompok halia dengan warna yang khas iaitu kuning. Rasanya agak pahit, sedikit pedas serta mempunyai aroma khas dan ubi/isi berwarna kuning kejingga-jinggaan. Batangnya berwarna hijau atau agak keunguan, berdaun 4 hingga 8 helai dan berbunga coklat serta berwarna kemerah-merahan dan kuning di tengahnya.

Menurut sebuah kajian dalam Neurobiology of Aging, curcumin iaitu suatu sebatian yang terdapat dalam kunyit yang sering digunakan sebagai bahan masakan, antara lain ialah kari, dapat mengurangkan inflamasi dan pengoksidaan yang merosakkan sel-sel otak yang mempengaruhi ingatan. Kajian pada sebatian anti-inflammatory lain juga menunjukkan, semakin awal mengamalkan sebatian ini, semakin kecil kemungkinan untuk mendapat penyakit alzheimer.

Para penyelidik menganjurkan untuk memakan masakan yang mengandungi kunyit 3 kali seminggu. Kita beruntung kerana selain kari, kita masih mempunyai banyak masakan lain yang menggunakan rempah kunyit. Yang paling mudah ialah minum kunyit asam yang sudah terkenal khasiatnya.

Kari membunuh sel-sel kanser, jadi ia baik untuk membantu mencegah kanser kolon. Kajian laboratorium di Louisiana State University menemui, curcumin, pigmen kuning di dalam kunyit, menghancurkan 25% sel-sel kanser kolon dalam 24 jam. Dapatkan 1/2 sudu teh kunyit setiap hari dan tambahkan pada sup, nasi atau salad. Kunyit dalam masakan kari dikatan membantu mengurangkan sakit sendi dan meningkatkan sistem imun, selain dapat mencegah alzheimer dan penuaan.

Rata-rata daripada kita menggemari masakan kari. Kari berasal dari bahasa 'Tamil' yang bererti sos atau pelbagai jenis masakan sayur-sayuran dan daging dari India Selatan yang dimakan bersama nasi putih. Kari juga dikatakan sebagai nama untuk berjenis-jenis makanan yang menggunakan campuran bahan dan rempah ratus sehingga mempunyai rasa berempah yang pedas. Antara bahan yang digunakan untuk membuat kari termasuklah ketumbar, lada, cili, serbuk lada benggala, jintan putih, jintan manis, kunyit, kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, daun kari dan cengkih. Manakala serbuk kari (curry powder) merupakan campuran dari pelbagai jenis bahan dan rempah yang pertama kali dibuat oleh orang Inggeris yang rindu pada masakan kari India.

Jika anda bukan penggemar kari, anda boleh mencuba pais, gulai kuning atau masakan-masakan yang menggunakan bahan kunyit. Selain itu serbuk kunyit juga boleh ditabur pada makanan seperti telur, ikan, ayam, daging, nasi, mi dan sayuran, sos stik dan barbeku. Kunyit juga boleh digunakan sebagai pengganti halia pada masakan Asia atau India.

Beberapa kajian yang telah dibuat menunjukkan kunyit boleh membantu proses penghadaman dan mengurangkan ‘gas’ atau angin dalam perut. Kunyit yang disapukan dengan minyak jika disapu akan membantu menghaluskan kulit. Kunyit juga boleh digunakan sebagai tonik bila dicampurkan dengan manisan dan minyak bijan. Juga boleh membantu masaalah datang haid bulanan dan juga membantu meningkatkan pengeluaran sel darah merah dan elok digunakan dalam keadaan anemia atau kekurangan darah merah. Kunyit yang dicampurkan air boleh digunakan untuk merawat gatal gatal, kudis, sakit sakit lutut, sendi dan ruam

Manakala dipandang dari sudut saintifik pula, kunyit diyakini baik sebagai;

- Agen antiseptik dan antibakeria semulajadi yang sangat berguna dalam pembasian luka serta kesan terbakar.

- Apabila digabungkan dengan kembang kol, ia terbukti dapat mencegah kanser prostat dan menghentikan pertumbuhan kanser prostat yang sedia ada.

- Menghalang kanser payudara daripada merebak ke paru-paru.

- Mengurangkan risiko leukemia terhadap kanak-kanak.

- Dapat menghalang dan memperlahankan perkembangan penyakit Alzheumer dengan menghapuskan penumpukan plak amyloyd di dalam otak.

- Boleh mencegah daripada berlaku pelbagai bentuk kanser yang berbeza jenisnya.

- Anti-radang yang bekerja tanpa kesan sampingan.

- Boleh membantu dalam metabolisma lemak dan membantu dalam penurunan berat badan.

- Telah lama digunakan dalam perubatan Cina sebagai rawatan untuk kemurungan kerana ciri-ciri anti-radang, ia adalah satu rawatan semulajadi untuk artritis dan artritis reumatoid.

- Meningkatkan kesan chemotherapy drug Paclitaxel serta mengurangkan kesan sampingan.

- Harapan kajian sedang dijalankan ke atas kesan kunyit pada barah pankreas.

- Menghentikan pertumbuhan saluran darah beku di dalam tumor barah.

- Sangat pantas dalam penyembuhan luka-luka serta membantu dalam pembentukan semula kulit yang rosak.

- Boleh membantu dalam rawatan psoriasis dan lain-lain keadaan kulit radang.

Kita beruntung kerana kaya dengan masakan tradisional dengan rempah segar termasuk kunyit. Sama ada kita mahu atau tidak untuk meneruskan rutin nenek moyang yang rajin makan makanan berempah agar tubuh kekal sihat. Ia merupakan sebuah rawatan kesihatan yang murah dan mudah yang perlu terus kita kekalkan.